Monday, May 14, 2012

Hadith 9


عَنْ أَنَسِ ابْنِ مَالِكٍ رَضِي اللَّه عَنْهم قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: Dari Anas bin Malik r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Tiadalah seseorang muslim yang menanam suatu pokok atau menanam suatu tanaman (kemudian besar dan berbuah) lalu dimakan oleh seekor burung atau manusia atau binatang melainkan akan menjadi sedekah baginya.”

Syarah Hadith
            Menurut al-Imam al-Nawawi r.a, hadith-hadith ini mendedahkan tentang keutamaan dan kelebihan berkebun dan bercucuk tanam, di mana pahalanya berterusan selama mana tanaman itu masih ada sehingga menanam rumput sekalipun jika diniatkan semasa mula menanam untuk mencari keredhaan Allah SWT.

            Menurut Ibn Hajar pula, pahala perbuatan menanam tanaman akan terus berlangsung selama mana hasil tanaman yang ditanam itu masih boleh dimakan walaupun orang yang menanamnya telah meninggal dunia atau pemilikannya telah berpindah tangan kepada orang lain.

            Selain itu, dikiaskan pahala berkebun dan bertani ini kepada apa sahaja yang menggalakkan seperti menggali perigi, sungai-sungai dan terusan-terusan air, membina empangan-empangan dan tempat menyimpan air, membantu peladang-peladang dengan memberi kesedaran (motivasi), memberi bantuan-bantuan biji benih dan latihan, memberi pinjaman wang untuk petani serta alat-alat pertanian dan sebagainya berupa jalan-jalan yang boleh memajukan sektor pertanian.

Pengajaran Hadith
1. Diberikan pahala bagi orang yang menyuburkan dan mengusahakan tanah sehingga apa yang ditanamnya itu makhluk Allah SWT yang lain juga mendapat manfaat.
2. Kelebihan menanam pokok dan bercucuk tanam adalah penyumbang makanan utama kepada manusia dan haiwan.
3. Pertanian adalah suatu kerja fizikal dan ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab al-Muzara’ah, Bab Keutamaan Menumbuhkan Dan Menanam Tanaman Apabila Sebahagiannya Dimakan, No. Hadith: 2320.

-Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...