Monday, May 14, 2012

Hadith 7


عن أبي ذرّ قال قلت يا رسول الله ألا تستعملني قال فضرب بيده على منكبي ثم قال يا أبا ذرّ إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها وأدّى الذي عليه فيها.

Maksudnya: Daripada Abu Dzar, dia berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikanku sebagai pegawai pejabat?” Kemudian Baginda menepuk bahuku dengan tangan Baginda seraya besabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah untuk memegang jawatan, padahal jawatan itu merupakan amanah. Pada hari qiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.”

Syarah Hadith
            Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ramai perawi iaitu 40 orang dari kalangan para tabi’in yang meriwayatkan antara satu sama lain. Di dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya aku melihatmu sebagai seorang yang lemah (daripada menerima jawatan), sedangkan aku mencintaimu sepertimana aku mencitai diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan janganlah kamu menguasai harta anak yatim.”
            Hadith ini menjadi dasar terpenting dalam permasalahan seseorang yang meminta-minta jawatan terutamanya bagi yang tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab pekerjaan tersebut. Mereka berhak mendapat kecelakaan dan penyesalan kerana mereka tidak berkelayakan di dalam pekerjaan yang diminta, atau mereka layak, tetapi tidak menjalankan amanah yang diberikan secara adil akan dihina oleh Allah pada hari qiamat kelak dan dalam masa yang sama mereka akan menyesal terhadap apa yang mereka lakukan di dunia.
            Sebaliknya, sesiapa yang berkelayakan untuk memegang tampuk kepimpinan serta berlaku adil di dalam pemerintahannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhannya seperti yang dijelaskan oleh Baginda SAW, “Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan di bawah naungan ‘Arasy Allah (di hari qiamat kelak) ketika manusia tidak mendapat perlindungan selain perlindungan-Nya, antaranya ialah pemimpin yang adil…”

Pengajaran Hadith
1. Seseorang yang tidak berkelayakan di dalam sesuatu pekerjaan tidak sepatutnya meminta-minta jawatan tersebut kerana dibimbangi tidak dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
2. Sikap tamak terhadap jawatan akan membawa penyesalan di hari pembalasan.
3. Pemimpin yang adil akan mendapat pertolongan daripada Allah serta disenangi oleh rakyatnya.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, kitab al-Imarah, Bab Makruh Meminta Jawatan Tanpa Keperluan, No. Hadith: 3404.

- Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...