Monday, May 14, 2012

Hadith 8


عن زهير قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن المقسطين عند الله على منابر من نور عن يمين الرحمن عز وجل وكلتا يديه يمين الذين يعدلون في حكمهم وأهليهم وما ولوا.

Maksudnya: Daripada Zuhair katanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang dibuat daripada cahaya, di sebelah kanan al-Rahman ‘Azza Wa Jalla - sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua – iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.”

Syarah Hadith
            Hadith ini menjelaskan tentang kelebihan pemimpin yang adil serta balasan baik yangakan diperolehi sekiranya mereka menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang kezaliman, pencabulan hak, rasuah serta jenayah-jenayah lain. Pemimpin yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang baik mampu memberi tauladan yang baik kepada rakyat seluruhnya. Sebaliknya, kepimpinan yang zalim akan memberi kesan yang buruk terhadap diri, masyarakat dan negara seluruhnya.
            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata bahawa yang dimaksudkan dengan mimbar ialah mimbar secara haqiqi dan juga mengandungi makna kinayah iaitu satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Justeru, Imam al-Nawawi telah mengambil jalan menghimpunkan kedua-dua pandangan ini dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang berlaku adil di dalam setiap setiap gerak kerjanya akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah iaitu di atas mimbar yang tinggi.
            Hadith ini juga menyebut tentang salah satu daripada salah satu daripada sifat-sifat Allah iaitu ‘tangan kanan al-Rahman’. Ulama’ telah berselisih pendapat mengenai hadith-hadith sifat. Terdapat diantara mereka yang beriman dengan hadith tersebut tanpa mengubah maknanya yang asal (takwil) seperti jumhur ulama’ Salaf dan sebahagian ulama’ Mutakallimin. Manakala sebahagian lain berpendapat bahawa hadith-hadith atau ayat-ayat yang berkaitan dengan sifat hendaklah diubah maknanya kepada makna lain yang bersesuaian dengan keagungan dan kesempurnaan Allah seperti pendapat kebanyakan ulama’ Mutakallimin.
            Al-Qadhi ‘Iyyad berkata, yang dimaksudkan dengan ‘kanan’ ialah satu keadaan yang baik serta kedudukan yang tinggi. Manakala Ibn ‘Arafah pula berpendapat bahawa kebanyakan orang arab jika ingin menunjukkan sesuatu yang baik dan terpuji, mereka akan menggunakan sesuatu yang berada di sebelah kanan dan sebaliknya akan menisbahkan kepada anggota kiri sekiranya ia menunjukkan sesuatu yang hina.
            Manakala maksud ‘orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka’ pula adalah merupakan salah satu kelebihan kepada mana-mana pemimpin di semua peringkat yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Mereka berhak mendapat kedudukan yang tinggi di hadapan Allah kerana melaksanakan hubungan baik dengan Allah dan dalam masa yang sama berlaku baik terhadap manusia.

Pengajaran Hadith
1. Galakan kepada pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil.
2. Pemimpin yang adil berhak mendapat kedudukan mulia di sisi Allah.
3. Kepentingan merapatkan hubungan sesama manusia untuk mendapat keredhaan Allah.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Kelebihan Pemimpin Yang Adil, Ancaman Terhadap Pemimpin Yang Zalim, Anjuran Supaya Berlemah Lembut Terhadap Rakyat Dan Larangan Menyusahkan Mereka, No. Hadith: 3406.

-Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...