Thursday, May 31, 2012

Hadith 13


عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ غَزَوْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ تَبُوكَ فَلَمَّا جَاءَ وَادِيَ الْقُرَى إِذَا امْرَأَةٌ فِي حَدِيقَةٍ لَهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ اخْرُصُوا وَخَرَصَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشَرَةَ أَوْسُقٍ فَقَالَ لَهَا أَحْصِي مَا يَخْرُجُ مِنْهَا فَلَمَّا أَتَيْنَا تَبُوكَ قَالَ أَمَا إِنَّهَا سَتَهُبُّ اللَّيْلَةَ رِيحٌ شَدِيدَةٌ فَلَا يَقُومَنَّ أَحَدٌ وَمَنْ كَانَ مَعَهُ بَعِيرٌ فَلْيَعْقِلْهُ فَعَقَلْنَاهَا وَهَبَّتْ رِيحٌ شَدِيدَةٌ فَقَامَ رَجُلٌ فَأَلْقَتْهُ بِجَبَلِ طَيِّءٍ وَأَهْدَى مَلِكُ أَيْلَةَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَغْلَةً بَيْضَاءَ وَكَسَاهُ بُرْدًا وَكَتَبَ لَهُ بِبَحْرِهِمْ فَلَمَّا أَتَى وَادِيَ الْقُرَى قَالَ لِلْمَرْأَةِ كَمْ جَاءَ حَدِيقَتُكِ قَالَتْ عَشَرَةَ أَوْسُقٍ خَرْصَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي مُتَعَجِّلٌ إِلَى الْمَدِينَةِ فَمَنْ أَرَادَ مِنْكُمْ أَنْ يَتَعَجَّلَ مَعِي فَلْيَتَعَجَّلْ فَلَمَّا قَالَ ابْنُ بَكَّارٍ كَلِمَةً مَعْنَاهَا أَشْرَفَ عَلَى الْمَدِينَةِ قَالَ هَذِهِ طَابَةُ فَلَمَّا رَأَى أُحُدًا قَالَ هَذَا جُبَيْلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ دُورِ الْأَنْصَارِ قَالُوا بَلَى قَالَ دُورُ بَنِي النَّجَّارِ ثُمَّ دُورُ بَنِي عَبْدِالْأَشْهَلِ ثُمَّ دُورُ بَنِي سَاعِدَةَ أَوْ دُورُ بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ وَفِي كُلِّ دُورِ الْأَنْصَارِ يَعْنِي خَيْرًا

Maksudnya: Daripada Abu Humaid berkata: “Kami pergi berperang bersama sama dengan baginda Rasulullah SAW pada perang Tabuk. Setelah baginda SAW datang di Wadi al-Qura yakni sebuah tempat yang terletak antara Madinah dan Syam, tiba-tiba ada seorang perempuan yang sedang berada di kebun miliknya, lalu baginda Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: “Taksirlah atau perkirakanlah berapa hasil kebun ini !” Rasulullah SAW sendiri juga memperkirakan hasilnya iaitu sepuluh ausuq. Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada wanita tersebut: Perhitungkanlah hasil yang keluar daripada kebun anda ini, juga perhitungkanlah ukuran wajib yang dikeluarkan untuk cukainya. Setelah tiba di Tabuk, Rasulullah SAW bersabda, ketahuilah sesungguhnya malam ini angin akan bertiup kencang, maka janganlah seorang pun di antara kalian berdiri dan barangsiapa yang membawa unta, hendaklah ia mengikatnya. Kami pun mengikat unta-unta kami, lalu angin bertiup kencang. Kemudian ada seorang lelaki berdiri maka angin itu menghempaskannya ke gunung Thayyi’. Raja Ailah menghadiahkan kepada Nabi SAW seekor baghal ( peranakan kuda dan keldai) putih, dan Nabi SAW memberinya pakaian beluru, lalu baginda SAW menulis surat (membuat perjanjian) kepadanya mengenai laut mereka (negeri mereka). Ketika Nabi SAW tiba di Wadi al-Qura, baginda bertanya kepada wanita tersebut, “Berapakah hasil kebunmu?” wanita itu menjawab, “10 ausuq, sama seperti perkiraan Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya aku tergesa-gesa ke Madinah, barangsiapa di antara kalian yang ingin ikut bersamaku, maka hendaklah ia mempercepatkan perjalanannya.” Ketika Ibn Bakkar mengucapkan kalimah maknanya – telah nampak kota Madinah, baginda Rasulullah SAW, “Ini adalah Thaabah (Madinah), kemudian apabila melihat bukit Uhud, baginda bersabda, “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Mahukah kalian aku beritahukan sebaik-baik perkampungan kaum ansar?” Mereka menjawab, “tentu”. Baginda SAW bersabda, “Perkampungan bani al-Najjar, perkampungan bani Abd al-Asyhal, kemudian perkampungan bani Saidah atau rumah-rumah bani al-Harith bin al-Khazraj, dan pada setiap perkampungan Ansar yakni terdapat kebaikan.”

Syarah Hadith
Imam al-Tirmidzi menyebutkan daripada sebahagian ulama tentang penafsirannya iaitu buah-buahan seperti kurma atau anggur yang telah sampai tahap wajib dikeluarkan zakatnya, maka pemilik kebun tersebut perlu mengupah pentaksir untuk menganggarkan sepuluh peratus  daripada hasil yang perlu dikeluarkan. Faedah daripada pentaksiran ini adalah membolehkan pemilik hasil tanaman memanfaatkan lebihan atau bahagian selain daripada kadar yang dianggarkan untuk keluaran zakat, seperti menjualnya, memakannya atau memberikan kepada kaum keluarga, jiran, dan fakir miskin.
Menurut al-Khattabi, para ahl- ra’yu tidak menyetujui mengenai pentaksiran tersebut. Ini kerana sebahagian daripada mereka mengatakan apabila membuat anggaran mungkin tidak tepat dan mempunyai unsur penipuan.
Al-Khattabi menjawab: Memang benar, tetapi bukan semua orang boleh jadi pentaksir, tetapi mestilah mengupah orang yang benar-benar pakar dalam menganggarkan sesuatu hasil pada sesuatu kebun, dan orang ini memang ada. Nabi SAW sendiri pernah melakukan pentaksiran, seperti yang disebut didalam hadith ini, dan pentaksirannya itu tepat dan benar. Kemudian amalan pentaksiran ini diikuti oleh Abu Bakr dan Umar dan golongan yang datang selepas mereka termasuk para tabi’in.

Pengajaran Hadith
1. Kadar taksiran yang telah ditetap bagi zakat pertanian adalah bagi memudahkan kepada para petani menentukan kadar zakat yang perlu dikeluarkan.
2. Kewajipan zakat pertanian memberikan kelebihan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Takhrij Hadith
Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Zakat, Bab Menaksir Kurma, No. hadith: 1481.

- Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

Hadith 12


عن عائشة رضي الله عنها عن النبي صلى الله عليه وسلم قا ل: من أعمر أرضا ليست لأحد فهو أحق. قال عروة: قضى به عمر رضي الله عنه في خلافته

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”. ‘Urwah berkata: ‘Umar r.a memberikan keputusan demikian semasa pemerintahanya”.

Syarah Hadith
Menurut al-Qazzaz, yang dimaksudkan dengan tanah yang mati adalah tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. Pemilikan tanah yang dimaksudkan seperti kehidupan ke atas tanah tersebut atau membiarkan sahaja tanah itu. Menghidupkan atau memakmurkan tanah yang mati yang tidak dimiliki oleh sesiapapun dengan memiliki tanah berkenaan, bercucuk tanam serta mendirikan bangunan di atasnya. Mengikut pendapat majoriti ulama’ mengatakan bahawa tanah itu menjadi miliknya tidak mengmbil kira lokasi yang dekat atau jauh, baik diizinkan imam ataupun tidak.

Sementara itu pula, Abu Hanifah berkata: “perkara ini hendaklah mendapat persetujuan imam secara mutlak”. Manakala Imam Malik mejelaskan, imam hanyalah memberikan keizinan khusunya tanah yang dekat dari mukim sahaja.Kategori tanah yang dekat ialah tanah yang diperlukan oleh penduduk di sekitarnya sama ada tempat untuk menternak binatang, tempat tinggal dan sebgainya.

Pengajaran Hadith
1. Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas daripada peruntukkan yang  ada di dalam syariah.
2. Sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama.

Takhrij Hadith
Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Muzara’ah, Bab Menghidupkan Tanah Yang Mati, No. Hadith: 2335.

- Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

Saturday, May 26, 2012

Hadith 11


عن أبي سلمة عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من أمسك كلبا فإنه ينقص كل يوم من عمله قيراط إلا كلب حرث أو ماشية قال ابن سيرين وأبو صالح عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم إلا كلب غنم أو حرث أو صيد وقال أبو حازم عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم كلب صيد أو ماشية

Maksudnya: Daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang memelihara anjing, pahala amal baiknya berkurang satu qirath setiap hari, kecuali anjing untuk menjaga sawah ladang dan menjaga ternakan.” Dan berkata Ibn Sirin dan Abu Salih, daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “kecuali anjing untuk menjaga kambing atau untuk menjaga sawah ladang atau berburu.” Berkata Abu Hazm, daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “kecuali anjing untuk berburu dan menjaga ternakan.”

Syarah Hadith
Ibnu Abdil Barr berkata, “pada hadith ini terdapat keterangan tentang bolehnya memelihara anjing untuk berburu, menjaga haiwan ternak, dan menjaga tanaman, serta tidak disukai memelihara anjing untuk tujuan selain itu. Hanya berdasarkan analogi dimasukkan di dalam makna berburu, menjaga tanaman dan haiwan ternak, adalah maksud-maksud lain yang dilakukan dalam rangka mengambil manfaat dan menghindari mudharat.
Ibn al-Tin berkata: “Maksud kurang pahala ialah seandainya orang itu tidak memelihara anjing nescaya amalannya akan sempurna. Ketika dia memelihara anjing, maka amalan tersebut menjadi berkurang. Tidak difahami bahawa yang berkurang adalah amalan yang telah lalu, tetapi yang dimaksudkan adalah kesempurnaan amalannya tidak sama dengan amalan orang yang tidak memelihara anjing.”  Sebahagian mengatakan bahawa sebab berkurangnya pahala itu kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah atau tetamu rasa terganggu, atau sebahagian anjing itu syaitan atau kerana tidak mematuhi larangan atau kerana ia menjilat barang-barang yang suci itu menjadi najis. Maka apabila dipakai untuk beribadah, nescaya nilainya tidak sama dibandingkan apabila barang yang dipergunakan itu suci.
Imam Syafi’i: boleh memelihara anjing untuk menjaga pintu halaman berdasarkan hukum yang disebutan dalam teks hadith.

Pengajaran
1.      Anjing tidak boleh dipelihara kecuali jika ada keperluan seperti untuk berburu dan menjaga tanaman.
2.      Najis anjing (air liur) hendaklah dibersihkan sebanyak tujuh kali, nasuhan pertama hendaklah daripada tanah dan basuhan selebihnya daripada air.
3.      Penjelasan tentang kasih sayang Allah terhadap makhlukNya dengan memperolehkan apa yang bermanfaat bagi mereka.

Takhrij Hadith
Riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Muzara’ah, Bab Memelihara Anjing untuk Menjaga Tanaman, No Hadith: 2322.

- Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

Monday, May 14, 2012

Hadith 10


عن أبي أمامة الباهلي قال ورأى سكة وشيئا من آلة الحرث فقال: سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول لا يدخل  هذا بيت قوم إلا أدخله الله الذلَّ.


Maksudnya: Daripada Abu Umamah al-Bahiliy, dia berkata ketika ia melihat cangkul atau sesuatu dari alat bercucuk tanam, lalu ia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Barang seperti ini tidak masuk ke rumah suatu kaum kecuali Allah akan memberikan kehinaan padanya.”

Syarah Hadith
Pada awal kedatangan Islam, industri pertanian dipelopori oleh kaum kafir dzimmi yang menetap di Madinah. Para sahabat yang tiada kebolehan dalam perkara bercucuk tanam tersebut menyebabkan mereka merasa sedikit terhina apabila melakukan pekerjaan bertani.
Hadith ini juga secara zahirnya menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang bercucuk tanam kerana akan mendatangkan kehinaan. Namun, Rasulullah SAW melarang apabila bercucuk tanam di kawasan musuh yang membolehkan musuh memerangi mereka dan mereka lalai untuk berjihad.
Hadith ini juga menegaskan kehinaan yang Allah akan timpakan terhadap kaum yang melampaui batas dalam mengerjakan pertanian sehingga terlalai dan mengambil tanah hak orang lain dalam merealisasikan matlamat diri sendiri semata-mata. Hal ini amat dilarang oleh Islam kerana ia membawa sifat tamak dan pentingkan diri sendiri serta menzalimi orang lain.
Hadith ini dikira sebagai hadith peringatan kepada semua terutama mereka yang tinggal berdekatan dengan wilayah musuh agar bersiap sedia dan tidak leka dengan pekerjaan pertanian sahaja.

Pengajaran Hadith
1. Manusia digalakkan bercucuk tanam kerana ia merupakan satu ibadah dan pekerjaan mulia yang dianjurkan oleh Islam.
2. Pertanian atai bercucuk tanam akan menjadi pekerjaan yang hina jika manusia terlalu asyik dengan pekerjaan tersebut sehingga mengabaikan tanggungjawab menegakkan agama Allah.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Al-Muzara’ah, Bab Siksaan Yang Ditakuti Akibat Menyibukkan Diri Dengan Alat Pertanian atau Melebihi Batas yang Diperintahkan, No. Hadith: 2321.

-Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)

Hadith 9


عَنْ أَنَسِ ابْنِ مَالِكٍ رَضِي اللَّه عَنْهم قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: Dari Anas bin Malik r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Tiadalah seseorang muslim yang menanam suatu pokok atau menanam suatu tanaman (kemudian besar dan berbuah) lalu dimakan oleh seekor burung atau manusia atau binatang melainkan akan menjadi sedekah baginya.”

Syarah Hadith
            Menurut al-Imam al-Nawawi r.a, hadith-hadith ini mendedahkan tentang keutamaan dan kelebihan berkebun dan bercucuk tanam, di mana pahalanya berterusan selama mana tanaman itu masih ada sehingga menanam rumput sekalipun jika diniatkan semasa mula menanam untuk mencari keredhaan Allah SWT.

            Menurut Ibn Hajar pula, pahala perbuatan menanam tanaman akan terus berlangsung selama mana hasil tanaman yang ditanam itu masih boleh dimakan walaupun orang yang menanamnya telah meninggal dunia atau pemilikannya telah berpindah tangan kepada orang lain.

            Selain itu, dikiaskan pahala berkebun dan bertani ini kepada apa sahaja yang menggalakkan seperti menggali perigi, sungai-sungai dan terusan-terusan air, membina empangan-empangan dan tempat menyimpan air, membantu peladang-peladang dengan memberi kesedaran (motivasi), memberi bantuan-bantuan biji benih dan latihan, memberi pinjaman wang untuk petani serta alat-alat pertanian dan sebagainya berupa jalan-jalan yang boleh memajukan sektor pertanian.

Pengajaran Hadith
1. Diberikan pahala bagi orang yang menyuburkan dan mengusahakan tanah sehingga apa yang ditanamnya itu makhluk Allah SWT yang lain juga mendapat manfaat.
2. Kelebihan menanam pokok dan bercucuk tanam adalah penyumbang makanan utama kepada manusia dan haiwan.
3. Pertanian adalah suatu kerja fizikal dan ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Takhrij Hadith
Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab al-Muzara’ah, Bab Keutamaan Menumbuhkan Dan Menanam Tanaman Apabila Sebahagiannya Dimakan, No. Hadith: 2320.

-Siti Hajar binti Mohamad Noor (A132877)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...